Salah satu sebab kenapa saya menulis artikel ini adalah untuk memberi peringatan yang kuat kepada diri saya sendiri. Saya mula sedar saya ini adalah daie apabila saya menerima tarbiyah semasa belajar di Scotland, UK pada tahun 2010.
Ketika itu, saya rasa sangat bersemangat! Rasa sangat ‘excited’! Rasa tak sabar nak sebarkan Islam kepada semua! Dan apabila saya sudah pulang ke Malaysia, rasa semangat itu makin lama makin pudar.
Alhamdulillah, Allah masih menjaga saya, sikit-sikit rasa semangat itu sudah kembali terutama apabila saya menyertai Imanshoppe & Iman Publications.
Kenapa saya pilih tajuk ini? Kerana kadangkala saya pun ada rasa malas! Dan kadangkala apabila saya melihat adik-adik, pekerja-pekerja dan rakan seperjuangan – mereka pun mengalami situasi yang sama. Kemungkinan besar, anda pun mengalami perasaan yang sama! Betul tak??
Kenapa perkara ini berlaku? Saya mendapati antara sebab-sebabnya adalah:
1. Tidak nampak matlamat yang besar
Apakah matlamat kita? Sebelum saya mendapat tarbiyah pada tahun 2010, percaya atau tidak, saya tidak tahu langsung apa matlamat hidup saya. Yang saya tahu, kena belajar sungguh-sungguh untuk mendapat ijazah, dapat ijazah supaya mendapat pekerjaan yang baik.
Dah la saya ambil kursus pengurusan perniagaan, memang langsung tiada idea nak kerja apa bila balik ke Malaysia. Kemudian saya jatuh cinta dengan ayat berikut.
Kita semua tahu 2 ayat Al-Quran yang sangat popular ini – Allah letakkan sebagai matlamat hidup kita;
“Tidak Aku ciptakan jin dan manusia, melainkan untuk mengabdikan diri(kepada Aku).” (Surah Adz-Dzariyyat ayat 56)
“Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat: Aku ingin ciptakan untuk bumi ini khalifah(pentadbir).” (Surah Al-Baqarah ayat 30)
Matlamat di atas itu sudah cukup jelas dan besar sekali! Jika kita memahaminya betul-betul. Dan kadangkala, kita mesti diingat balik berkali-kali apakah matlamat kita di dunia ini. Di kala kita sibuk atau taksub dengan urusan dunia, kita boleh jadi penat dan akhirnya kita pun jadi malas.
2. Tiada ‘passion’
Mak saya selalu mengingatkan kami adik-beradik untuk;
“Find your passion and be good in it!”
Secara jujurnya, ia bukanlah senang. Ia sangat mengambil masa dan paling penting jangan mudah mengalah. Sebagai seorang Muslim, semestinya ‘passion’ kita adalah menjadi ibdurrahman dan khalifah di atas muka bumi ini.
Kita mesti rasa ‘passion’ untuk menengakkan Islam di atas muka bumi ini. Bagaimana kalau kita tak rasa lagi ‘passion’ ini? Jangan risau & jangan cepat mengalah. Dengan syarat, kita mesti mencari ‘passion’ tersebut.
3. Tiada perancangan
Saya amat terkesan dengan satu petikan surat Khalifah Umar bin Khatthab kepada Gubernur Abu Musa Al Asy’ari, sebagaimana dituturkan oleh Abu Ubaid, ”Amma ba’du:
“Ketahuilah, sesungguhnya kekuatan itu terletak pada prestasi kerja. Oleh kerana itu, janganlah engkau tangguhkan pekerjaan hari ini hingga esok, kerana pekerjaanmu akan menumpuk, sehingga kamu tidak tahu lagi mana yang harus dikerjakan, dan akhirnya semua terbengkalai.”
Dush! Jika kita tidak terkesan walaupun sedikit dengan petikan di atas, amat rugilah kita.
Rancang hidup anda. Rancang aktiviti harian anda. Letakkan objektif mingguan yang praktikal bukannya sekadar berangan-angan.
Ini salah satu tips yang saya selalu pakai setiap hari: –
Letak 3 objektif sahaja untuk dicapai dalam satu hari. Naturally, kita rasa nak buat semua benda dalam satu hari, tapi jangan terpedaya. Kita ni hanyalah manusia biasa.
4. Tiada motivasi
Terdapat 2 faktor besar yang mendorong kita membuat sesuatu benda ; faktor luaran & faktor dalaman.
Faktor luaran
Apabila tiada sesiapa nak bagi dorongan ataupun ‘push’ kita, kemungkina besar kita akan jadi malas. Kita akan rasa, “takpela, tiada siapa kisah pun apa aku buat”.
Maka kelilingkan diri anda dengan orang rajin & bersemangat.
Faktor dalaman
Ini pula peperangan antara kita dengan syaitan & nafsu kita. Maka perangilah ia dengan membaca Al-Quran dan sentiasa berzikir.
5. Sebab Daie itu ‘Gemuk’
Erkk…ada kaitan ke ni?
Ya, saya sangat merasai perbezaannya apabila saya pergi bersenam dan juga tidak. Apabila kita tidak bersenam, tubuh badan kita akan lemah. Apabila tubuh badan kita lemah, kita akan cepat penat. Dan apabila kita cepat penat, kita akan menjadi malas.
Tidak bersenam > tubuh badah lemah > cepat penat > malas. Nampak tak?
Jadi jagalah mutabaah amal. Jagalah permakanan kita. Memang bukan mudah untuk buat semua sendiri, jadi carilah kawan atau geng untuk tidak menjadi Daie yang ‘gemuk’ seperti Panda. Eheh.
Wallahualam,
Arinah@Gombak
My passions are da’wah, business, travel & photography. Connect with me through my Blog, Facebook,Twitter, LinkedIn,Instagram, or Youtube.





